Thursday, October 25, 2012

Jurang Usia Bukan Halangan Perkahwinan

 
Sewaktu remaja dahulu, aku selalu tertanya-tanya. Apa maksud sebenar perkahwinan ni? Adakah cuma kerana Cinta? Nafsu? atau berkahwin atas dasar Simpati dan Kasihan. Atau lebih teruk lagi, berkahwin cuma tidak mahu digelar sebagai Andartu dan seangkatan dengannya.

Setelah merujuk banyak bahan bacaan, rupa-rupanya asas penting sesebuah perkahwinan adalah untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak kira berbeza bangsa, pangkat dan umur. Tetapi, adalah lebih bagus jika pasangan anda adalah sekufu dan mementingkan agama.

Allah telah menjadikan bagaimana kisah rumah tangga Rasulullah S.A.W. sebagai bahan  rujukan , berbeza sekali dengan anggapan kita. Lihat, bagaimana Khadijah yang lebih berusia cuba meminang Rasullullah kerana sikap terpuji Baginda dan Rasullullah menerima dengan hati terbuka. Walaupun Khadijah seorang yang kaya, beliau begitu hormat akan suaminya. Perkahwinan tersebut mendapat rahmat dan berkat. Meskipun Khadijah sudah berusia 40 tahun, tetapi telah dikurniakan 6 orang anak kesemuanya.
 
Perbezaan Umur

Ya, memang pantang pemikiran bagi seorang perempuan untuk berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. Perbezaan umur bagi pasangan anda cumalah bahan subjektif. Asalkan saling memahami antara satu sama lain itu sudah cukup. Kerana apa perlu berkata begitu? Kerana kita di akhirat kelak akan mempunyai umur yang sama iaitu muda. Tidak kiralah sama ada penghuni Syurga mahupun Neraka. Umur kita tetap sama dan sebaya. Sudah tentulah kita akan dipertemukan sesama ahli keluarga meskipun datuk nenek kita tetapi umur tetap sebaya. Ini berdasarkan riwayat daripada Hasan al-Basri berkata yang maksudnya:
 
Seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada ALLAH agar aku dapat masuk ke Syurga.” Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab, “Wahai ibu fulan, Syurga itu tidak dihuni oleh orang tua.” Mendengar jawapan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, wanita itu pergi dari situ sambil menangis. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam kemudian bersabda, “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke Syurga dengan keadaan usia tua. Sesungguhnya ALLAH Ta`ala berfirman:
 
إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً. فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا. عُرُبًا أَتْرَابً 

 (Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya)”
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.
 
Dulu aku juga ada terfikir. Sanggupkah seorang lelaki muda mengahwini seorang perempuan yang lebih tua? Andai kata, perkahwinan tersebut tidak memperoleh anak, adakah masih bahagia walaupun sekadar mengambil anak angkat? Kes di atas cuma akan berakhir dengan bahagia jika tujuan perkahwinan tersebut difahami. Tidak perlu bersedih sangat jika tidak mendapat anak, kerana membimbing dan membesarkan anak angkat lebih besar ganjaran pahalanya. Kes seperti di bawah membuktikan perkahwinan tersebut amatlah bahagia. Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia, apa yang terjadi kepada Majid kita ikuti kisahnya :

"Ketika itu, saya berusia awal 20-an dan merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat telekomunikasi terkenal di ibu kota. Sebagai lelaki, saya merasakan tidak mudah untuk mencari calon isteri. Jika tersalah pilih, yang dirancang tidak menjadi.

"Begitulah permulaan kisah yang ingin saya kongsi dengan anda minggu ini. Kisah tentang jodoh saya.

"Keluarga memberi sepenuh kepercayaan kepada saya memilih calon isteri. Jika saya tiada pilihan, mereka akan menolong untuk mencari calon yang sesuai. Doa adalah senjata yang paling mustajab untuk kita mendapatkan yang terbaik. Ini kerana setiap insan dijadikan berpasangan, itu janji Allah dan setiap kali bersolat, saya bermohon semoga diperkenankan hajat ini.

"Maka takdir telah mempertemukan saya dengan seorang gadis yang lebih berusia daripada saya. Saya senang berkawan dengannya walaupun mendapat tentangan yang cukup hebat daripada kawan-kawan yang kebanyakannya adalah wanita.

"Pelbagai cerita negatif yang saya dengar mengenai gadis pilihan saya itu yang saya kenalkan sebagai Zati (bukan nama sebenar), tetapi saya diamkan sahaja kerana tiada bukti kukuh yang boleh saya percaya kata-kata mereka.

"Saya membuat andaian mereka cemburu dengan saya atau iri hati. Mungkin juga mereka merancang sesuatu. Tetapi mereka harus ingat, ini soal hati dan perasaan.

"Berdiri biar sama tinggi dan duduk biarlah sama rendah, itu yang sepatutnya terjadi supaya serasi dan sedap mata memandang. Itu antara nasihat yang dilontarkan kepada saya ketika sedang minum petang dengan kakak-kakak di pejabat.

"Kakak ingin melihat Majid bahagia dan carilah calon isteri yang sepadan dan muda kerana perempuan akan kelihatan cepat tua.''

"Saya hanya tersenyum dan faham maksudnya, tidak salah untuk kita mendengar nasihat daripada seorang yang lebih berpengalaman.

"Hampir bertahun juga saya cuba untuk menghampiri Zati dengan harapan yang satu, untuk dijadikan calon isteri. Tidak semudah yang disangka kerana pelbagai 'ujian' yang saya hadapi termasuk tekanan daripada kawan-kawan sekeliling yang kesemuanya tidak setuju dengan pilihan saya.

"Mereka kebanyakannya menentang. Kata mereka kami tidak sekufu dan masih ramai lagi yang sesuai untuk disunting. Bagi saya, amat tidak adil jika Zati dihukum kerana saya. Mengapa harus bersandarkan kepada pendapat orang lain jika itu yang terbaik dan diciptakan untuk saya.

"Usia bukan penentu kebahagiaan seseorang dan kekayaan juga bukan tiket untuk mudah mendapat segala yang dihajati, kerana ketentuan itu milik Allah.

"Saya nasihatkan Zati supaya jangan terlalu memikirkan apa yang diperkatakan oleh orang sekeliling. Pedulikan mereka kerana jika dilayan akan bertambah kecoh dan tiada kesudahan.

"Dengan izin Allah segalanya berjalan lancar dan kami akhirnya bertunang dalam suatu majlis yang sederhana. Pelbagai cerita timbul, di samping heboh cerita saya bertunang dengan andartu.

"Itulah hakikatnya. Amat sukar untuk membahagiakan hati orang kerana kebahagiaan itu milik kita dan pemberian daripada Allah yang harus disyukuri.

"Yang paling saya gembira adalah kerana pertunangan kami dipersetujui keluarga dan mendapat restu daripada kedua ibu bapa dan keluarga pada hari pernikahan kami.

"Itu kisah 30 tahun yang lalu. Waktu itu kami dihimpit pelbagai kontroversi untuk hidup bersama. Kini kami bahagia dengan cara kami. Saya dan Zati tidak pernah menyesal dengan keputusan kami untuk hidup bersama walaupun usia kami berbeza 15 tahun.

"Sebagai lelaki, saya juga menerima hakikat yang Zaty tidak boleh melahirkan anak, tapi kami membuat keputusan cepat dengan mengambil anak angkat. Kesemuanya lima orang. Mereka kami ambil dari rumah kebajikan mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan.

"Alhamdulillah anak-anak ini juga gembira hidup dengan kami. Zati dan saya memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anak ini. Mereka dilayan seperti anak sendiri, diberi apa sahaja yang mereka mahu terutama pendidikan agama dan akademik.

"Untuk seketika, saya merasa inilah hikmahnya yang Allah berikan kepada saya kerana menerima Zati dahulu. Walaupun kawan-kawan ramai yang mencemuh kerana melihat saya berganding dengan Zati dulu, sekarang mereka melihat kami dengan muka ditundukkan ke bawah, ertinya mereka dulu tidak menjamin kami akan bahagia.

"Kini semua anak-anak angkat saya telah mencecah usia remaja dan kami bahagia walaupun tidak dikurniakan zuriat sendiri. Kasih sayang kami kepada mereka tidak berbelah bahagi. Mereka juga anak-anak yang perlukan perhatian dan kasih sejati dari ibu bapa.

"Takdir telah menentukan anak-anak ini di bawah jagaan kami dan kami terima dengan reda. Jauh di sudut hati anak-anak ini mungkin ingin bertemu dengan ibu dan ayah kandung yang telah lebih awal dijemput Ilahi.

"Saya dan Zati mengambil peranan itu untuk mengembalikan keseronokan mereka sama seperti anak-anak yang punya ibu bapa. Saya merasakan Allah telah memberikan saya isteri yang baik dan taat. Dia sanggup bersusah senang dengan saya dan menerima kata-kata kesat orang dahulu kerana sayangkan saya.

"Sebagai suami, saya berterima kasih kepada Zati kerana sanggup berkorban untuk saya. Dia tidak pernah menyakitkan hati saya dan selalu ada bila saya memerlukannya. Dalam usia yang semakin meningkat, tentu Zati juga semakin faham akan erti hidup yang sebenarnya.

"Kepada anak-anak angkat kami, usah bersedih dengan suratan takdir ini, tetapi bangunlah dengan semangat yang cekal dan tabah demi masa hadapan yang sukar untuk diduga.

"Saya telah memberi mereka pelajaran dunia dan akhirat dan selalu mendoakan agar mereka berjaya dalam hidup. Saya mahu mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah serta berjaya di dunia dan akhirat.

 "Saya percaya apa yang Allah berikan kepada kita adalah untuk kita hargai dan sayangi. Pemberian Allah adalah tanggungjawab dan amanah. Tidak boleh dibuat main-main. Saya akui kata-kata itu. Zati juga sama. Malah kami berjanji akan melakukan apa sahaja demi masa depan anak-anak kami ini.

"Biarpun masih ada orang yang sengaja mencari kontroversi dalam rumah tangga saya dan Zati, tapi saya yakin, ia tidak akan menjejaskan masa depan kami. Malah akan terus menguatkan cinta dan kasih sayang kami.

"Biarlah orang akan kata apa sahaja. Katalah saya dan Zati macam anak dengan ibu, tidak mengapa saya terima sebab kami tahu siapa kami. Semoga Allah terus memberi perlindungan untuk saya, Zati dan anak-anak,'' Majid menutup cerita .

Saya amat gembira membaca kisah Majid dan Zati. Kisah mereka adalah satu di antara seribu yang sering mengundang ujian dalam hidup berumah tangga.

Saya nampak kematangan mereka di awal cerita dan akhirnya tentulah membawa bahagia. Inilah kisah yang boleh dijadikan teladan oleh pasangan suami isteri dalam mencari persefahaman dan tolak ansur dalam rumah tangga.

Menutup catatan, pesanan saya, seorang isteri harus selalu berdoa untuk kesejahteraan hidup suaminya kerana di dalam hati seorang suami sebenarnya hanya ada seorang wanita yang dipanggil isteri.
 
Sumber : Utusan Malaysia

Wednesday, October 24, 2012

Video Penuh Zulfahmi Lari Dari Kena Sembur Arak


Impian negara Malaysia semakin menjadi kenyataan apabila pelumba muda negara Zulfahmi,21  mencipta sejarah apabila berjaya mendapat tempat ke-2 dalam kejuaraan Malaysian Motorcyle Grand Prix, di litar Sepang ahad lalu. Sekaligus, membuktikan peruntukan kerajaan untuk program pembangunan sukan permotoran tidak sia-sia.

Namun, apa yang menarik di sebalik kemenangan beliau. Rakaman video ketika berada di atas podium, menyaksikan anak muda itu melarikan diri di saat meraikan kemenangan. Kenapa? Lihat video penuh di bawah.


Zulfahmi wajar diberi pujian apabila cuba lari dari semburan arak. Tetapi, apabila balik semula ke podium, beliau tetap kena sembur sipi-sipi jugak oleh juara No1 Moto3 2012, Sandro Cortese. So di sini, pentingnya Malaysia kononnya sebagai sebuah negara Islam perlu mengubah corak untuk celebrate pemenang-pemenang sukan permotoran kelak.

Malaysia boleh meniru Qatar tentang corak meraikan kemenangan juara-juara tersebut. Tidak perlu botol arak dipromosikan. Bayangkan, sukan permotoran MotoGP telah bermula di Malaysia sejak tahun 1999, sedangkan MotoGP di Qatar baru bermula pada tahun 2004. Just enjoy...

Qatar MotoGP Podium Celebration 2010 

Video 1 
Video 2

Qatar MotoGP Podium Celebration 2011


Saturday, September 8, 2012

Tangan Kekasihku Merayap di Panggung Wayang

 SERDANG: Niat seorang wanita keluar untuk menonton wayang bersama teman lelaki bertukar episod malang apabila dia menjadi mangsa cabul lelaki itu yang mengambil kesempatan mencium dan meraba seluruh badannya ketika mereka berada dalam panggung wayang di sebuah pusat beli-belah, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.40 petang, wanita berusia 22 tahun itu diajak suspek menonton wayang dan dia yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju dan masuk dalam panggung berkenaan tidak berapa lama kemudiannya.

Menurut sumber, pada mulanya tiada perkara pelik berlaku apabila masing-masing leka menonton tayangan filem berkenaan namun tiba-tiba mangsa terkejut apabila tiba-tiba lelaki berusia 20-an terbabit memegang tangannya.

“Dia menepis tangan suspek dan lelaki itu tidak mengulangi perkara terbabit.

“Namun tidak lama kemudian suspek sekali lagi mengambil kesempatan, malah pada kali ini lebih berani apabila dia mencium pipi mangsa sebelum meraba tubuh temannya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, mangsa memarahinya dan menegur perbuatan terbabit namun tidak diendahkan sebaliknya suspek meraba mangsa.

“Tidak tahan diperlakukan sedemikian rupa, mangsa nekad keluar dari panggung wayang berkenaan sebelum diikuti suspek yang memujuknya dan berjanji tidak akan melakukan perkara itu serta memohon maaf.

“Percaya dengan kata-kata teman lelaki itu, mangsa memaafkan perbuatannya dan meminta lelaki itu menghantarnya pulang ke rumahnya di Kajang,”katanya.

Menurutnya, ketika mangsa ingin masuk ke dalam rumah, tiba-tiba suspek memeluknya dari belakang dengan kuat dan menciumnya menyebabkan mangsa yang terkejut meronta dan Berjaya melepaskan diri.

“Mangsa yang ketakutan masuk dan mengunci pintu. Suspek pada mulanya tidak beredar dan menghubungi mangsa menggunakan telefon bimbit serta menghantar SMS meminta dia keluar berjumpa dengannya,”katanya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang sebelum kes itu dirujuk semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Sumber : Hmetro  
 

p/s : Gejala anak luar nikah makin bertambah semakin hari. Ada bayi yang dibuang ke tong sampah, di lubang tandas dan ditanam hidup-hidup. Tidak kisahlah sama ada seorang perempuan itu perasan atau tidak, fitrah mendalam seorang lelaki terhadap tubuh badan wanita tidak akan berubah dari zaman nabi Adam sehinggalah sekarang.

Bagi sesetengah kes, kita mungkin melihat seorang lelaki itu baik, alim, tidak mencuri dan baik dalam berbahasa. Yaa..kerana mencuri itu bukannya fitrah, merokok juga bukan fitrah, tetapi keinginan terhadap wanita adalah fitrah luar biasa seorang lelaki yang sudah tertanam dari kecil cuma tunggu untuk bercambah sahaja. Sewaktu aku masuk matrik dulu, telah terjadi kes yang tak terfikir, macam mana seorang bilal surau boleh berzina dengan teman sekuliahnya. Mungkin seorang perempuan itu menganggap tubuh badan mereka biasa sahaja, tetapi tidak bagi seorang lelaki.

Panduan didikan Islam sangat cantik dan tidak terdapat pada mana-mana agama lain. Contohnya mengasingkan tempat tidur adik-beradik sekeluarga antara lelaki dan perempuan apabila hampir baligh. Menutup aurat pula biarlah labuh. Mungkin sesetengah amalan ini sukar dilakukan kerana kurangnya penghayatan tetapi niat untuk berubah perlu diterus dan ditingkatkan.

Setiap peraturan Allah sukar  diketahui hikmahnya. Pernah ada seorang awek india tanya aku, apasal perempuan islam kena tutup aurat? Jawapan aku mudah je.. kalau you dah Islam, Tuhan dah bagi arahan, ikut je la kalau nak selamat. Haha..senang jawab nampak. Samalah macam jawapan Brother Lim a.k.a mualaf cina islam, ada orang cina yang bertanya beliau. Apasal orang islam tak makan babi? Kita memang dah tau yang kandungan daging babi tak elok dimakan tetapi beliau tetap menjawab, ‘kalau you dah Islam, Tuhan dah bagi arahan, ikut je la ’. Ermm..

Tak salah untuk bercinta..tak perlu menunggu sehingga habis belajar Ijazah baru hendak bercinta. Bercintalah ketika bila diri sudah matang atau mature la katakan.. barulah maruah tidak mudah tergadai.. Mengharapkan seorang lelaki yang gatal untuk berubah adalah sukar. Sekian.

Tuesday, August 28, 2012

Pelbagai Cara Menjimatkan Minyak Kereta

Asasnya, semakin kuat pedal minyak ditekan, semakin pantas enjin bekerja menyebabkan kereta bergerak laju, sekali gus penggunaan minyak bertambah. Kini, banyak pengeluar menggunakan pemancit bahan api, bukannya karburator. Pemancit bahan api kini dikawal komputer bagi memastikan penggunaan minyak paling minimum tapi memberikan prestasi tertinggi.

Bagaimanapun, cara terbaik dan mudah menjimatkan minyak ialah pemanduan yang lancar. Ramai pemandu sengaja tidak memperlahankan kenderaan walaupun menyedari mereka perlu berbuat demikian apabila ada sesuatu menghalang di depan.

Tindakan memperlahankan atau memberhentikan kereta secara tiba-tiba menyebabkan penggunaan minyak meningkat kerana tidak seimbang dengan kelajuan kenderaan.

Jika memandu terlalu laju di lebuh raya dan ingin memperlahankan kenderaan, jangan tekan brek sebaliknya lepaskan pedal minyak hingga mencapai kelajuan yang dikehendaki serta tutup semua tingkap bagi mengurangkan rintangan angin.


Matikan enjin apabila berhenti walaupun beberapa minit terutama ketika singgah di kedai atau menunggu seseorang. Matikan enjin ketika tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Enjin yang pegun boleh menggunakan sehingga satu liter petrol setiap 10 minit.


Pandu terus sebaik enjin dihidupkan tapi pada kelajuan rendah kerana langkah itu membolehkan enjin lebih cepat panas dan pergerakan minyak enjin lebih baik. Penalaan enjin yang sempurna dapat mengurangkan penggunaan petrol dan membantu enjin mudah dihidupkan. Bagi gear manual, amalkan menggunakan gear yang sesuai dengan kelajuan enjin.


Ini kerana memandu pada kelajuan 80 kilometer sejam (km/j) dengan gear kelima (putaran enjin 2,500 pusingan seminit) menggunakan kurang petrol berbanding 40 km/j pada gear ketiga (putaran enjin juga 2,500 pusingan seminit).


Jangan cuba memecut apabila mendapati kelajuan semakin menurun ketika mendaki bukit. Walaupun menuruni bukit pada gear neutral menjimatkan minyak, ia boleh menyebabkan kereta terlalu laju serta brek menjadi panas.


Isikan minyak sehingga tangki penuh. Minyak atau petrol cepat habis jika ruang tangki banyak yang kosong. Benarnya tips ini memang ada. Minyak atau petrol akan meruap. Semakin besar ruang semakin banyak minyak atau petrol meruap. Petrol yang meruap tidak dapat dibakar oleh enjin. Dicadangkan juga penuhkan semula tangki apabila tangki separuh kosong. Jangan tunggu sehingga meter pada tanda "E" baru diisi. Semakin banyak ruang kosong semakin banyak petrol meruap, maka lebih cepat habis.

Tabiat mengisi minyak pada waktu pagi juga menjimatkan petrol kerana tahap kepekatan petrol dalam tangki minyak stesen petrol meningkat.

Jumlah kuantiti liter adalah sama tapi jumlah jirim petrol bertambah pada waktu pagi menyebabkan kandungan tenaga dalam petrol bertambah.


Selain itu, tekanan tayar yang rendah juga mempengaruhi penggunaan minyak kerana ia mewujudkan daya seretan lebih besar menyebabkan enjin terpaksa membakar lebih banyak petrol bagi menghasilkan tenaga untuk menggerakkan kereta.

Jika boleh kurangkan penggunaan penghawa dingin. Perjalanan pagi atau malam yang sejuk tidak perlu penghawa dingin. Buka tingkap sedikit dan biarkan angin luar masuk. Awas jangan buka tingkap terlalu luas sehingga tangan dari luar boleh mencapain ke dalam dengan mudah.

Kurangkan beban kereta. Barang-barang yang tidak perlu dalam kereta perlu dikeluarkan. Semakin banyak beban semakin banyak tenaga dan minyak digunakan.

Sumber : Hmetro

Friday, August 17, 2012

Sunnah dan Adab-Adab Berhari Raya


Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadan.

Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah SAW menyambut Hari Raya, antaranya ialah;

1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.
Imam Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.” Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama‟ telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat Hari Raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat.
 
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953].

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ia juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

3. Bertakbir pada hari Raya

Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185].

Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).”

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

4. Lafaz Takbir Hari Raya
Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas‟ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz : 
Maksudnya: Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Masa Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”

Al-Mahamiliy (المحاملي ) meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibnu Mas‟ud:
Maksudnya: Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha agung, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah

Kata ulama, “Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan amalkan.” Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar.

5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya
Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan :

Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan anda semua).
 
(Selamat) hari raya yang diberkati.  

Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri dari ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya mereka mengucapkan  وَمِنّْكُمْ تُقُبَِّلَ مِنَّ Ibnu Hajar berkata: Isnad (riwayat ini) Hasan. [Fath al-Bari: 2/446].
 
3. Antara ucapan yang masyhur juga :

6. Berpakaian baru/cantik di Hari Raya
Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765].

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”].

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.

7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain.

Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986]

Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini;
i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara yang baik dan jahat.
ii Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam.
iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT.
iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

8. Solat Hari Raya. 
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat Hari Raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.

Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya.
a- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak dua rakaat. Rakaat pertama ada tujuh kali takbir dan rakaat kedua ada lima kali takbir. Hukum bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi SAW.

b-Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A‟la ( سبّح اسم ربل الأعل ) dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasyiah ( هل أتاك حديث الغاشية ) berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf (ق) pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar (القمر) pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi SAW.

c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas katanya:
“Aku menyaksikan Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.”

d- Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari: “Telah sepakat para fuqaha‟ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”

9. Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat Hari Raya. 
Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: “Adalah Rasulullah SAW keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”]

Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawaduk dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.”

Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

10. Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat Hari Raya. 
Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah).

Daripada Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.”

11. Zakat Fitrah. 
Nabi SAW menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal. Imam al-Bukhari meriwayatkan: “Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

Kesalahan yang dilakukan pada hari raya :
 
Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya. Ramai dalam kalangan kita telah mengambil mudah akan hal ini. Apabila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakan lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan.

Semoga ‘Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan. 

Jurang Usia Bukan Halangan Perkahwinan

  Sewaktu remaja dahulu, aku selalu tertanya-tanya. Apa maksud sebenar perkahwinan ni? Adakah cuma kerana Cinta? Nafsu? atau berkahwin ...