Thursday, October 25, 2012

Jurang Usia Bukan Halangan Perkahwinan

 
Sewaktu remaja dahulu, aku selalu tertanya-tanya. Apa maksud sebenar perkahwinan ni? Adakah cuma kerana Cinta? Nafsu? atau berkahwin atas dasar Simpati dan Kasihan. Atau lebih teruk lagi, berkahwin cuma tidak mahu digelar sebagai Andartu dan seangkatan dengannya.

Setelah merujuk banyak bahan bacaan, rupa-rupanya asas penting sesebuah perkahwinan adalah untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Tidak kira berbeza bangsa, pangkat dan umur. Tetapi, adalah lebih bagus jika pasangan anda adalah sekufu dan mementingkan agama.

Allah telah menjadikan bagaimana kisah rumah tangga Rasulullah S.A.W. sebagai bahan  rujukan , berbeza sekali dengan anggapan kita. Lihat, bagaimana Khadijah yang lebih berusia cuba meminang Rasullullah kerana sikap terpuji Baginda dan Rasullullah menerima dengan hati terbuka. Walaupun Khadijah seorang yang kaya, beliau begitu hormat akan suaminya. Perkahwinan tersebut mendapat rahmat dan berkat. Meskipun Khadijah sudah berusia 40 tahun, tetapi telah dikurniakan 6 orang anak kesemuanya.
 
Perbezaan Umur

Ya, memang pantang pemikiran bagi seorang perempuan untuk berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. Perbezaan umur bagi pasangan anda cumalah bahan subjektif. Asalkan saling memahami antara satu sama lain itu sudah cukup. Kerana apa perlu berkata begitu? Kerana kita di akhirat kelak akan mempunyai umur yang sama iaitu muda. Tidak kiralah sama ada penghuni Syurga mahupun Neraka. Umur kita tetap sama dan sebaya. Sudah tentulah kita akan dipertemukan sesama ahli keluarga meskipun datuk nenek kita tetapi umur tetap sebaya. Ini berdasarkan riwayat daripada Hasan al-Basri berkata yang maksudnya:
 
Seorang wanita tua bertemu dengan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan berkata, “Wahai Rasulullah, tolonglah berdoa kepada ALLAH agar aku dapat masuk ke Syurga.” Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab, “Wahai ibu fulan, Syurga itu tidak dihuni oleh orang tua.” Mendengar jawapan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, wanita itu pergi dari situ sambil menangis. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam kemudian bersabda, “Beritahu kepada wanita tua itu, dia tidak akan masuk ke Syurga dengan keadaan usia tua. Sesungguhnya ALLAH Ta`ala berfirman:
 
إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً. فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا. عُرُبًا أَتْرَابً 

 (Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya)”
(HR at-Tirmidzi) – Hadith ini bertaraf hasan.
 
Dulu aku juga ada terfikir. Sanggupkah seorang lelaki muda mengahwini seorang perempuan yang lebih tua? Andai kata, perkahwinan tersebut tidak memperoleh anak, adakah masih bahagia walaupun sekadar mengambil anak angkat? Kes di atas cuma akan berakhir dengan bahagia jika tujuan perkahwinan tersebut difahami. Tidak perlu bersedih sangat jika tidak mendapat anak, kerana membimbing dan membesarkan anak angkat lebih besar ganjaran pahalanya. Kes seperti di bawah membuktikan perkahwinan tersebut amatlah bahagia. Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia, apa yang terjadi kepada Majid kita ikuti kisahnya :

"Ketika itu, saya berusia awal 20-an dan merupakan seorang eksekutif di sebuah syarikat telekomunikasi terkenal di ibu kota. Sebagai lelaki, saya merasakan tidak mudah untuk mencari calon isteri. Jika tersalah pilih, yang dirancang tidak menjadi.

"Begitulah permulaan kisah yang ingin saya kongsi dengan anda minggu ini. Kisah tentang jodoh saya.

"Keluarga memberi sepenuh kepercayaan kepada saya memilih calon isteri. Jika saya tiada pilihan, mereka akan menolong untuk mencari calon yang sesuai. Doa adalah senjata yang paling mustajab untuk kita mendapatkan yang terbaik. Ini kerana setiap insan dijadikan berpasangan, itu janji Allah dan setiap kali bersolat, saya bermohon semoga diperkenankan hajat ini.

"Maka takdir telah mempertemukan saya dengan seorang gadis yang lebih berusia daripada saya. Saya senang berkawan dengannya walaupun mendapat tentangan yang cukup hebat daripada kawan-kawan yang kebanyakannya adalah wanita.

"Pelbagai cerita negatif yang saya dengar mengenai gadis pilihan saya itu yang saya kenalkan sebagai Zati (bukan nama sebenar), tetapi saya diamkan sahaja kerana tiada bukti kukuh yang boleh saya percaya kata-kata mereka.

"Saya membuat andaian mereka cemburu dengan saya atau iri hati. Mungkin juga mereka merancang sesuatu. Tetapi mereka harus ingat, ini soal hati dan perasaan.

"Berdiri biar sama tinggi dan duduk biarlah sama rendah, itu yang sepatutnya terjadi supaya serasi dan sedap mata memandang. Itu antara nasihat yang dilontarkan kepada saya ketika sedang minum petang dengan kakak-kakak di pejabat.

"Kakak ingin melihat Majid bahagia dan carilah calon isteri yang sepadan dan muda kerana perempuan akan kelihatan cepat tua.''

"Saya hanya tersenyum dan faham maksudnya, tidak salah untuk kita mendengar nasihat daripada seorang yang lebih berpengalaman.

"Hampir bertahun juga saya cuba untuk menghampiri Zati dengan harapan yang satu, untuk dijadikan calon isteri. Tidak semudah yang disangka kerana pelbagai 'ujian' yang saya hadapi termasuk tekanan daripada kawan-kawan sekeliling yang kesemuanya tidak setuju dengan pilihan saya.

"Mereka kebanyakannya menentang. Kata mereka kami tidak sekufu dan masih ramai lagi yang sesuai untuk disunting. Bagi saya, amat tidak adil jika Zati dihukum kerana saya. Mengapa harus bersandarkan kepada pendapat orang lain jika itu yang terbaik dan diciptakan untuk saya.

"Usia bukan penentu kebahagiaan seseorang dan kekayaan juga bukan tiket untuk mudah mendapat segala yang dihajati, kerana ketentuan itu milik Allah.

"Saya nasihatkan Zati supaya jangan terlalu memikirkan apa yang diperkatakan oleh orang sekeliling. Pedulikan mereka kerana jika dilayan akan bertambah kecoh dan tiada kesudahan.

"Dengan izin Allah segalanya berjalan lancar dan kami akhirnya bertunang dalam suatu majlis yang sederhana. Pelbagai cerita timbul, di samping heboh cerita saya bertunang dengan andartu.

"Itulah hakikatnya. Amat sukar untuk membahagiakan hati orang kerana kebahagiaan itu milik kita dan pemberian daripada Allah yang harus disyukuri.

"Yang paling saya gembira adalah kerana pertunangan kami dipersetujui keluarga dan mendapat restu daripada kedua ibu bapa dan keluarga pada hari pernikahan kami.

"Itu kisah 30 tahun yang lalu. Waktu itu kami dihimpit pelbagai kontroversi untuk hidup bersama. Kini kami bahagia dengan cara kami. Saya dan Zati tidak pernah menyesal dengan keputusan kami untuk hidup bersama walaupun usia kami berbeza 15 tahun.

"Sebagai lelaki, saya juga menerima hakikat yang Zaty tidak boleh melahirkan anak, tapi kami membuat keputusan cepat dengan mengambil anak angkat. Kesemuanya lima orang. Mereka kami ambil dari rumah kebajikan mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan.

"Alhamdulillah anak-anak ini juga gembira hidup dengan kami. Zati dan saya memberi sepenuh kasih sayang kepada anak-anak ini. Mereka dilayan seperti anak sendiri, diberi apa sahaja yang mereka mahu terutama pendidikan agama dan akademik.

"Untuk seketika, saya merasa inilah hikmahnya yang Allah berikan kepada saya kerana menerima Zati dahulu. Walaupun kawan-kawan ramai yang mencemuh kerana melihat saya berganding dengan Zati dulu, sekarang mereka melihat kami dengan muka ditundukkan ke bawah, ertinya mereka dulu tidak menjamin kami akan bahagia.

"Kini semua anak-anak angkat saya telah mencecah usia remaja dan kami bahagia walaupun tidak dikurniakan zuriat sendiri. Kasih sayang kami kepada mereka tidak berbelah bahagi. Mereka juga anak-anak yang perlukan perhatian dan kasih sejati dari ibu bapa.

"Takdir telah menentukan anak-anak ini di bawah jagaan kami dan kami terima dengan reda. Jauh di sudut hati anak-anak ini mungkin ingin bertemu dengan ibu dan ayah kandung yang telah lebih awal dijemput Ilahi.

"Saya dan Zati mengambil peranan itu untuk mengembalikan keseronokan mereka sama seperti anak-anak yang punya ibu bapa. Saya merasakan Allah telah memberikan saya isteri yang baik dan taat. Dia sanggup bersusah senang dengan saya dan menerima kata-kata kesat orang dahulu kerana sayangkan saya.

"Sebagai suami, saya berterima kasih kepada Zati kerana sanggup berkorban untuk saya. Dia tidak pernah menyakitkan hati saya dan selalu ada bila saya memerlukannya. Dalam usia yang semakin meningkat, tentu Zati juga semakin faham akan erti hidup yang sebenarnya.

"Kepada anak-anak angkat kami, usah bersedih dengan suratan takdir ini, tetapi bangunlah dengan semangat yang cekal dan tabah demi masa hadapan yang sukar untuk diduga.

"Saya telah memberi mereka pelajaran dunia dan akhirat dan selalu mendoakan agar mereka berjaya dalam hidup. Saya mahu mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah serta berjaya di dunia dan akhirat.

 "Saya percaya apa yang Allah berikan kepada kita adalah untuk kita hargai dan sayangi. Pemberian Allah adalah tanggungjawab dan amanah. Tidak boleh dibuat main-main. Saya akui kata-kata itu. Zati juga sama. Malah kami berjanji akan melakukan apa sahaja demi masa depan anak-anak kami ini.

"Biarpun masih ada orang yang sengaja mencari kontroversi dalam rumah tangga saya dan Zati, tapi saya yakin, ia tidak akan menjejaskan masa depan kami. Malah akan terus menguatkan cinta dan kasih sayang kami.

"Biarlah orang akan kata apa sahaja. Katalah saya dan Zati macam anak dengan ibu, tidak mengapa saya terima sebab kami tahu siapa kami. Semoga Allah terus memberi perlindungan untuk saya, Zati dan anak-anak,'' Majid menutup cerita .

Saya amat gembira membaca kisah Majid dan Zati. Kisah mereka adalah satu di antara seribu yang sering mengundang ujian dalam hidup berumah tangga.

Saya nampak kematangan mereka di awal cerita dan akhirnya tentulah membawa bahagia. Inilah kisah yang boleh dijadikan teladan oleh pasangan suami isteri dalam mencari persefahaman dan tolak ansur dalam rumah tangga.

Menutup catatan, pesanan saya, seorang isteri harus selalu berdoa untuk kesejahteraan hidup suaminya kerana di dalam hati seorang suami sebenarnya hanya ada seorang wanita yang dipanggil isteri.
 
Sumber : Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Jurang Usia Bukan Halangan Perkahwinan

  Sewaktu remaja dahulu, aku selalu tertanya-tanya. Apa maksud sebenar perkahwinan ni? Adakah cuma kerana Cinta? Nafsu? atau berkahwin ...