Monday, July 23, 2012

Kekeliruan Hukum di Bulan Ramadhan



Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :- 

 1) Darah keluar dari tubuh
samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain. 

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur. 

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
 
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah. 

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
 
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan  apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak. Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut. Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226). Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar. Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "

                                                              والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه
Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya. Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
 
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ). Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa. 
  • ·         Pendapat yang mengatakan “al-Jauf”, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila masuk makanan ke dalamnya adalah “Ma’idah” (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain di badan manusia.
  • ·         Ulama’ semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
  • ·         Ulama’ semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
  • ·         Alat yang dimasukkan ke dalam ma’idah (usus) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa. Kecuali jika diletak ubat/minyak pada alat tersebut maka ia boleh membatalkan puasa.
  • ·         Ulama’ semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir dekat dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.
  • ·         Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah angin/udara yang tidak terdapat anasir lain di dalamnya.
  • ·         Begitu juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2).
  • ·         Bius setempat tidak membatalkan puasa. Manakala bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa tetapi sekiranya pesakit tersedar dan masih berbaki waktu puasa hari tersebut tidak batal puasanya.
  • ·        Ubat titis ke dalam telinga juga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan “Jauf”.
  • ·        Ubat titis mata, mengikut majoriti ulama’ semasa, tidak membatalkan puasa.
  • ·         Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot mengikut majoriti ulama’ semasa tidak membatalkan puasa.
  • ·         Memasukkan air dan benda yang boleh mengenyangkan seperti glukos ke dalam urat, mengikut majoriti ulama’ semasa adalah membatalkan puasa.
  • ·         Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada kulit, tidak membatalkan puasa.
  • ·         Memasukkan alat seperti kamera, untuk mengesan penyakit ke dalam urat/saluran jantung adalah tidak membatalkan puasa.
  • ·         Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk mengesan penyakit, tidak membatalkan puasa. Tetapi sekiranya sampai kepada “Ma’idah” (usus), boleh membatalkan puasa.
  • ·         Dialisis (mencuci darah) yang mengandungi ubat-ubat yang boleh mengenyangkan atau memberi kekuatan boleh membatalkan puasa, sebaliknya kalau setakat membersihkan darah tanpa ubat-ubatan tidak membatalkan.
  • ·         Menggunakan cecair/sabun pencuci alat sulit wanita tidak membatalkan puasa.
  • ·         Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit bawasir atau mengurangkan kepanasan suhu badan tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai kepada ma’idah.
  • ·         Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa.
  • ·         Menderma (mengambil) darah. Terdapat khilaf yang begitu besar dikalangan ulama’, tetapi pendapat yang lebih kuatnya tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam.
  • ·         Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa.
·          
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
 
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat 
 
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
 
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :- 

                                  كان رسول اللَّهِ  يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud,  2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
 
Dan satu lagi adalah : - 

 فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام 
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif) Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
 
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.

9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. 

Hukumnya : Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah :- 

                                                          من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Hukumnya : Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa. Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh

Hukumnya : Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama. Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159) Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal. Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan. Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur dan kahak
 
Hukumnya : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

 13 ) Mandi

Hukumnya : Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.  Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma  puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu

Hukumnya : Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal. Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

15) Mengosok gigi ketika berpuasa

Bersugi dan memperbanyakkan bersiwak menggunakan kayu sugi adalah amat digalakkan dalam setiap waktu di bulan ramadhan, samada pagi , tengahari atau petang, ia berdasarkan hadith sohih yang menyebut : Dari 'Amir bin Rabi'ah berkata "Telah aku lihat Nabi SAW bersiwak tidak terkira banyaknya dalam keadaan baginda berpuasa ( Riwayat al-Bukhari)

Cuma perlu diingat, siwak Nabi adalah menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi yang berperisa. Justeru tiada kemungkinan nabi terminum atau termasuk di perut Nabi ubat gigi. Justeru, jika gosok gigi pakai ubat gigi, maka tatkala itulah terdapat ijtihad mengatakannya sebagai makruh kerana bimbang peluang terbatal kerana minum air kumuran dan ubat gigi. Memang benar, perbuatan 'ter' minum tidak wajar menjadi batal kerana ia tidak disengajakan, tetapi apabila sesuatu yang 'mubah' dibuat tanpa keperluan lalu menyebabkan 'ter'minum, ia boleh membawa kepada batal. Sebagaimana mandi biasa berulang kali dengan sengaja, berkumur berulang kali dengan sengaja sehingga akhirnya terminum.

Tujuan saya tidak lain hanyalah menjauhi apa jua yang berkemungkinan membatalkan puasa atau bercanggah dengan ruh ibadah puasa itu sendiri. Jangan pula kerana ingin mencapai 'maqasid' (objektif) dari bersiwak sehingga boleh membuka ruang mencarik maqasid ibadah puasa teruatamanya bagi orang awam yang suka mengambil peluang. Dalam keadaan objektif itu boleh dicapai tanpa menggunakan air yang berlebihan (kumur) atau ubat gigi.

Maka dalam hal ini, mengabungkan dua ‘maqasid’ tanpa membuka ruang masalah adalah terpilih pada hemat saya. Justeru, saya berpandangan, lebih elok menghindarkan diri dari ubat gigi bagi mengelakkan berkumur mengguna air berlebihan tatkala berpuasa, khususnya selepas zohor. Di tambah pula terdapat cara lain yang boleh menyampaikan kita ke faedah siwak itu.

Selain itu, Nabi saw ada bersabda :-

                             أسبغ الوضوء وخلل بين الأصابع , وبالغ في الإستنشاق إلا أن تكون صائماً ( ابو داود) 
Ertinya : Sempurnakan wudhu, basuhlah celah-celah jari jemarimu , dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; sohih)

Memasukkan air di dalam hidung seperti ini adalah di kira sama dengan hukum berkumur menurut kebanyakan ulama fiqh. Kebanyakkan mereka termasuk ulama hadith biasanya menggabungkan topik menghisap air ke hidung dan kumur dalam satu bab. Justeru, inilah dalil pertama mengapa kami mengatakan menggosok gigi dengan air dan ubat gigi berperisa adalah makruh dan tidak digalakkan. Namun tidaklah secara automatic membatalkan puasa.

Sebahagian besar ulama Syafie menyebut bahawa berkumur-kumur dengan berlebihan adalah satu perbuatan makruh ketika puasa. Dalil hadith sohih yang dipegang oleh mereka adalah :

                                                    لخلوف فم الصائم يوم القيامة أفضل عند الله من ريح المسك
Ertinya : Sesungguhnya bauan mulut orang yang berpuasa itu pada hari kiamat adalah lebih baik di sisi Allah daripada bauan haruman kasturi"

Justeru, menurut ijtihad mereka, memperbanyakkan berkumur terutamanya selepas zohor mampu menghilangkan bauan mulut hasil ibadat puasa yang diberkati ini. Lalu, bersugi menggunakan air dan ubat gigi yang mempunyai wangian sudah pasti juga akan mengilangkan bau ini. Kerana itulah ia dikira makruh dan tidak digalakkan. Adapun Nabi SAW yang bersiwak hanya dengan kayu sugi, saya kira ia adalah tepat disamping tepat pula untuk membersihkan gigi dengan tidak memberi kesan terhadap bauan mulut.

Pandangan dan ijtihad mazhab Syafie ini juga dikongsi oleh ulama Mazhab Hanbali dan Mazhab Maliki ( Rujuk Kassyaf al-Qina' , 2/383 ; As-Syarh as-Soghir, 1/692) juga menyenaraikan berkumur banyak tatkala puasa itu adalah makruh. Justeru, menggosok gigi menggunakan air dan ubat gigi sekali lagi termasuk dalam hal ini kerana ia memerlukan kumuran yang banyak demi menghilangkan kesan ubat gigi.

Benar, sekiranya terminum air hasil dari kumuran tidak membatalkan puasa kerana ia adalah perbuatan tidak sengaja. Bagaimanapun, Imam An-Nawawi menyebut, sekiranya terminum itu adalah hasil kerana berlebih-lebihan dalam berkumur sehingga 4 kali kumuran, tatkala itu, jika tertelan air pada kumuran berlebihan yang keempat, ia boleh membatalkan puasa  ; ia adalah kerana berlebihan itu sudah terkeluar dari hajat yang asal. ( Rawdah at-Tolibin, hlm 335 ).

Malah terdapat ulama besar seperti Ulama hanafi, Al-Qasimiah, Imam Malik dan Imam As-Syafie (dalam salah satu pandangannya) dan Imam Muzani yang berpandangan puasa boleh terbatal walaupun tertelan air kumuran tanpa sengaja. Manakala sebahagian ulama lain mengatakan tidak batal seperti Ishak Rahawaih, Awzai'e dan ulama mazhab Syafie (Naylul Awtar, As-Syawkani, 4/521)  ; Kerana itu eloklah dijauhkan dari perbuat amalan yang ikhtilaf ini. Ia sudah tentu terlebih baik bukan.

Benar, Nabi SAW pernah bersabda :

                       أرأيت لو تمضمضت بماءٍ وأنت صائم , قلت : لا بأس بذلك , فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ففيم 
Ertinya :  Nabi berkata kembali kepada (Umar ) (apabila aku bertanya apa hukum mencium tatkala puasa ) : apakah pandangan kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dengan air dalam keadaan kamu berpuasa ? ; aku jawab : Tiada masalah ; Bersabda Nabi : begitulah (juga hukumnya dengan ciuman tadi) ( Riwayat Abu Daud, no 2385 ; Albani : Sohih)

Bukanlah lebih elok dan selamat jika dihadkan gosok gigi dan kumuran yang terhad dengan bilangan gosok gigi guna air yang terhad, selebihnya mengunakan sugi atau berus gigi tanpa melibatkan air dan ubat gigi.
 --------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ingin saya menasihatkan semasa berpuasa : jika risau anda cirit birit,gastrik, sakit perut, maigrain, tekanan darah rendah dan tinggi ketika berpuasa, amalkan minum talbinah (Barli) dan madu selepas bersahur. Talbinah ialah sejenis minuman yang dibuat daripada biji Syaeer/Barli (Hordeum Valgare) bersama kulitnya, ia dicampur dengan susu dan madu lebah asli untuk menambahkan rasa manis. Minuman ini dinamakan Talbinah kerana warnanya seperti warna susu.
 
Sabda Nabi s.a.w :"Talbinah melegakan sanubari orang yang sakit dan melegakan sebahagian daripada kesedihan"riwayat Bukhari dan Muslim. Talbinah dapat digunakan untuk mengatasi penyakit berikut :Jantung dan pelbagai penyakitnya, pelbagai jenis demam, penyakit-penyakit dada, tekanan darah tinggi, kelemahan secara umum, kanser, infeksi dan kelemahan usus, luka-luka bernanah, depresi (tekanan) dan kes-kes kejiwaan, penyakit lambung, kelemahan hati, kelemahan seksual, tifoid (tifus), gangguan tidur, penyakit-penyakit dan pelbagai jenis radang saluran kencing dan parkinson.


Sekian,

Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung

No comments:

Post a Comment

Jurang Usia Bukan Halangan Perkahwinan

  Sewaktu remaja dahulu, aku selalu tertanya-tanya. Apa maksud sebenar perkahwinan ni? Adakah cuma kerana Cinta? Nafsu? atau berkahwin ...