Tuesday, August 14, 2012

Susulan Monorail Tersangkut : Terlebih Bebanan??

KUALA LUMPUR, 14 Ogos : Kejadian monorel rosak dan tersangkut di landasan di Brickfields pada Sabtu lepas mungkin berpunca daripada bebanan berlebihan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, ini kerana pihaknya mendapati sistem brek tidak dapat dilepaskan sekalipun selepas menggunakan alat membebaskan brek di dalam monorel serta melalui alat kawalan jauh di stesen kawalan. “Brek yang mencengkam hanya dapat dilepaskan selepas kami mendapatkan bantuan daripada pasukan mekanikal daripada Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) selaku penyedia perkhidmatan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam. 
Beliau berkata, beban berlebihan mungkin punca enjin monorel itu berhenti secara tiba-tiba dan sistem brek mencengkam dengan mengejut.

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar Prasana melihat semula Prosedur Operasi Standard (SOP) perkhidmatan monorel bagi mengelak kejadian berulang.

Dalam kejadian 2.18 petang Sabtu lalu, 183 penumpang diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields, sejurus keluar dari stesen itu menuju ke stesen Maharajalela. Tiga daripada penumpang dimasukkan ke hospital kerana pengsan dan sesak nafas.

 Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Prasarana, Azhar Ghazali menafikan lebihan muatan punca monorel tersebut berhenti.

Ini kerana, katanya, ketika kejadian hanya terdapat 183 penumpang berbanding kapasiti sebenar 214 orang untuk satu perjalanan.

Azhar berkata, siasatan awal pihaknya juga mendapati kejadian berlaku disebabkan monorel kehilangan kuasa tarikan (traction power) yang mengakibatkan enjin berhenti secara automatik. - Bernama





























Terdahulu : -

KUALA LUMPUR, 12 Ogos -- Kira-kira 183 penumpang berdepan detik mencemaskan apabila monorel yang dinaiki rosak dan tersangkut di atas landasan di Brickfields hari ini.

Jurucakap bilik gerakan Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah berkata pihaknya menerima panggilan pada kira-kira 2.18 petang.

"Monorel itu tersangkut berhampiran Stesen Tun Sambanthan sejurus keluar dari stesen tersebut menuju ke Stesen seterusnya, iaitu Maharajalela," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata seramai 35 anggota bomba dan enam jentera dari Balai Bomba Hang Tuah, Taman Desa, Pantai, Sri Hartamas bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan.

"Kami menyelamatkan 63 mangsa menggunakan kren bomba dan selebihnya menggunakan kaedah 'train-to-train evacuation' untuk menolak tren terbabit ke stesen Tun Sambanthan," katanya sambil menambah operasi menyelamat tamat pada kira-kira 4 petang.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad Azhar Ghazali berkata kejadian berlaku pada 1.58 petang ekoran masalah 'traction Control' yang menyebabkan enjin berhenti secara automatik.

"Bagaimanapun, operasi berjalan seperti biasa pada 4.30 petang selepas operasi membaik pulih monorel selesai," katanya.

Beliau berkata seramai tiga penumpang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur kerana seorang daripada mereka pengsan manakala dua lagi sesak nafas berikutan kejadian itu.

Sementara itu, seorang penumpang, Nur Izzah Nazihah Hasnul Bahrin, 14, dari Nilai, berkata sejurus sebelum insiden itu, tren yang bergerak seperti biasa tiba-tiba berhenti secara mengejut.

"Enjin tren berhenti secara tiba-tiba dan penghawa dingin juga tidak berfungsi," katanya.

Beberapa minit kemudian, beliau berkata semua penumpang mula cemas apabila terlihat dua orang pengsan akibat sesak nafas, selain keadaan yang panas di dalam tren itu.

"Satu jam kemudian, kami semua amat gembira apabila melihat anggota bomba tiba dan menyelamatkan semua penumpang," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong dari England yang hanya ingin dikenali sebagai Matthew, 27, berkata keadaan di dalam tren amat sesak sebelum beliau menaikinya di Stesen Tun Sambanthan untuk ke Stesen Maharajalela.

"Ketika tren tiba-tiba berhenti masih ada penumpang yang ketawa kerana tidak menyedari apa yang sebenarnya berlaku," katanya

No comments:

Post a Comment

Jurang Usia Bukan Halangan Perkahwinan

  Sewaktu remaja dahulu, aku selalu tertanya-tanya. Apa maksud sebenar perkahwinan ni? Adakah cuma kerana Cinta? Nafsu? atau berkahwin ...